HULU TERENGGANU, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Datuk Seri Jailani Johari berikrar untuk menggunakan pengalamannya semasa berada di dalam Kabinet sebelum ini untuk bersama-sama masyarakat di kawasan berkenaan khususnya memajukan lagi kawasan tersebut.

Menurut beliau semasa menjadi Ahli Parlimen Hulu Terengganu selama sepenggal dan sebagai Timbalan Menteri, pelbagai perkara telah dibawa ke kawasan tersebut dan jika kepercayaan diberikan kali ini ianya adalah lebih berfokus.

“Insya-Allah… pada masa saya menjadi Ahli Parlimen di Hulu Terengganu dan menjadi Timbalan Menteri Kabinet selama sepenggal, saya telah bawa pembaharuan dan pembangunan di Parlimen Hulu Terengganu dan insya-Allah kalau diberikan peluang pada kali ini ini sebagai wakil di DUN Ajil, kita akan dapat berikan satu fokus lebih spesifik kepada DUN Ajil ini.

“Rata-rata saya lihat banyak lagi kekurangan yang ada di sini dan penduduk semestinya mengharapkan kerajaan sedia ada dapat memberikan pembangunan di sini tetapi tidak nampak.

“Jadi itulah… dengan harapan dan amanah yang telah diberikan oleh pimpinan sebagai calon BN di sini, marilah kita sama-sama berusaha supaya kemenangan dapat dicapai  demi masyarakat di Ajil,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang membawa ‘tagline’ ‘Ajil Bangkit’ seterusnya menambah ungkapan tersebut diharap dapat digarap bersama-sama masyarakat setempat dalam usaha melakukan perubahan pada hari mengundi esok.

“Kita sebenarnya telah melalui satu fasa yang mana sebelum ini telah diwakili oleh Pas dan kita percaya rakyat di sini memerlukan seorang wakil rakyat yang boleh memberikan khidmat kepada mereka kerana dalam tempoh lima tahun yang lalu banyak isu-isu yang timbul dan tidak nampak sebarang pembangunan yang dibawa ke sini.

“Insya-Allah ‘Ajil Bangkit’  perlu diterjemahkan bersama rakan-rakan di DUN-DUN lain. Kita perlukan pembangunan dan inilah harapan di Ajil ini. Rata-rata saya bergerak dan penerimaan cukup tinggi dan berharap momentum sokongan ini akan berterusan.”