TELEMONG, 7 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong Datuk Rozi Mamat berkata Akujanji BN negeri itu secara langsung manfaatnya adalah secara terus dinikmati oleh rakyat negeri berkenaan.

Antaranya jelas beliau bagi masyarakat luar bandar khususnya di Telemong, bantuan-bantuan dalam aspek pendidikan seperti pemberian laptop percuma dan pemberian tunai kepada mereka yang melangkah kaki ke menara gading sepertimana yang terkandung di dalam manifesto yang dilancarkan sebelum ini.

“Saya bercakap soal ini dahulu… bagi mereka yang telah tamat belajar pula akan diberi peluang pekerjaan sambilan selama tahun di agensi kerajaan negeri dengan gaji yang telah ditetapkan sambil masing-masing mencari peluang pekerjaan tetap.

“Dalam soal bantuan-bantuan pula mencakupi bantuan kepada warga emas dan ketua keluarga serta ibu tunggal serta para belia. Ini adalah antara bantuan secara ‘direct’ yang ditawarkan oleh kita jika BN berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Apa yang saya utarakan di sini tidak ambil semua dan ambil mana yang utama dan penting kepada rakyat. Begitu juga Akujanji kita untuk menubuhkan tabung pesakit kronik seperti penyakit buang pinggang, jantung dan lain-lain dengan peruntukan RM10 juta setahun dan akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi masyarakat rata-rata memerlukan penubuhan tabung seumpama itu kerana kebanyakan penduduk terutama di luar bandar tidak mempunyai insurans mahu pun tanggungan daripada kerajaan kerana ada yang bekerja sebagai petani dan sebagainya lagi.

“Untuk belia pula disediakan pinjaman pembelian motosikal sebanyak RM5,000 dan pembayaran balik pula sebanyak RM4,500. Begitu juga dengan persatuan belia yang mana akan diberikan RM5,000 setahun untuk bantuan pentadbiran dan begitu juga yang lain.

“Jadi saya rasa sebahagian Akujanji ini amat baik untuk masyarakat di Terengganu khususnya orang-orag kampung saya di kawasan Telemong ini. Kalau soal pembangunan pula kita akan teruskan sepertimana yang telah dirancang dan akan dilaksanakan dengan jayanya,” ujar beliau.