JERTEH, 8 Ogos – Calon termuda Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh Mohd Rozaini Mohd Rasli, 35, atau Koja berazam untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat jika beliau diberi mandat Sabtu ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Beliau yang juga calon paling muda untuk PRN negeri berkenaan seterusnya melihat walaupun usia muda, insya-Allah segala tumpuan dan segala perancangan akan melibatkan semua kerana keutamaan adalah masyarakat di DUN Jerteh.

“Alhamdulillah… hari ini seluruh jentera pelbagai peringkat bersama-sama membantu untuk memastikan kejayaan parti Sabtu ini. Apa yang penting hari ini saya mahu menyatakan khdimat saya jika diberikan mandat adalah untuk semua dan tentunya banyak perkara sepertimana yang terkandung di dalam Akujanji BN Terengganu cukup baik dan banyak manfaat untuk masyarakat di DUN Jerteh.

“Golongan muda, belia, warga emas serta warga setempat lain dan sebagainya cukup banyak bantuan. Begitu juga soal infrastruktur yang diketengahkan khususnya penyambungan Lebuhraya Pantai Timur fasa tiga yang memberi kemudahan kepada masyarakat di sini,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi apa pun kerajaan negeri juga mestilah diterajui oleh Kerajaan Perpaduan bagi menjayakan segala Akujanji tersebut yang rata-rata cukup banyak kepentingan kepada seluruh masyarakat.

“Peluang sudah terbuka luas untuk pengundi di Jerteh membuat pilihan dan kita menawarkan lima teras yang secara langsung segala insentif untuk rakyat yang meliputi pelbagai peringkat kumpulan umur,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau menyatakan akan melihat dan memperjuangkan isu ‘smart parking’ di kawasan bandar Jerteh yang telah menimbulkan rungutan kepada warga setempat.

“Insya-Allah jika saya diberikan mandat, saya berani katakan hari ini… akan memperjuangkan perkara berkenaan termasuklah membatalkan sistem berkenaan yang menyukarkan warga DUN jerteh,” tambahnya.