BESUT, 9 Ogos – Kerajaan Perpaduan mempunyai idea, misi dan visi yang jelas untuk terus mengembangkan potensi ekonomi di Terengganu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini bagi mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada generasi muda di negeri itu untuk menjana pendapatan seterusnya membentuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera.

“Kita melihat Terengganu berpotensi tinggi menerima limpahan besar daripada industri penyahkarbonan yang sedang dirintis oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini dan kita mahu menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi hijau di rantau ini kerana ia merupakan pelaburan paling besar dunia sejak 2021.

“Kita juga jelas potensi besar ini untuk dilaksanakan di Terengganu dengan menukar industri minyak dan gas di Kerteh menjadi industri hijau menggunakan telaga minyak sedia ada yang telah kosong,” katanya ketika berucap pada Program Kesejahteraan Komuniti Felda MADANI di Felda Tenang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata telaga minyak kosong ekoran kehabisan sumber petroleum di perairan Terengganu boleh dijadikan pusat penyimpanan bahan mentah industri teknologi hijau.

Beliau juga berkata Kerajaan Perpaduan komited untuk membantu Terengganu memulihkan kelembapan ekonomi, penutupan perniagaan kecil sederhana, ketiadaan peluang pekerjaan baharu, pengurusan air lewa dan pengurusan bencana yang lemah. – BERNAMA